Individu yang dipertanggungjawabkan terhadap sesuatu perkara (person in charge) haruslah memiliki dua kualiti utama yang mana jika tiada keduanya atau salah satunya maka secara automatiknya tidak melayakkannya untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
Dua kualiti teras ini adalah urus (manage) dan pimpin (lead). Bagaimana mungkin kita meletakkan harapan kepada individu yang bukanlah pengurus yang baik, apatah lagi bukan juga pemimpin yang baik, untuk memikul sesuatu tanggungjawab itu?
Pengurus yang baik akan mengurus berpandukan objektif, manakala pemimpin yang baik akan memimpin dengan kemanusiaan. Maka gabungan kedua-dua kualiti teras ini -manage by objective, lead with humality- akan menghasilkan suatu tadbir urus yang efisyen dan efektif.
Pengurus yang baik seharusnya dapat membezakan di antara yang mendesak/perlu disegerakan (urgent) dengan yang penting (important), sepertimana pengurus negara kita menyatakan pendiriannya - rakyat didahulukan (first), pencapaian diutamakan (now). Tanpa objektif/matlamat yang jelas, adalah mustahil sesuatu perkara itu dapat diuruskan dengan baik (mencapai objektif/matlamat).
Pemimpin yang baik pula harus bijak dalam mendifinisikan sesuatu perihal itu sebagai umum (hal bersama) ataupun khusus (hal peribadi). Seandainya hal peribadi di-umum-kannya, maka mana mungkin yang dipimpin dapat menyatakan kesetiaan mereka seterusnya menzahirkan rasa hormat kepada pemimpin. Dan tercetuslah apa yang dinamakan - krisis kepimpinan.
Tidak timbul soal pertama kali dipertanggungjawabkan. Frasa pertama kali dipertanggungjawabkan hanyalah semata-mata alasan yang dicipta dalam proses mempertahankan diri atau melepaskan diri, tanpa mahu mengakui kekurangan sendiri. Seharusnya pengurus dan pemimpin yang baik bersandar pada prinsip - betul pertama kali dan setiap kali.
Prinsip betul pertama kali dan setiap kali pula bukanlah suatu prinsip yang mahu menidakkan frasa klise- tiada yang sempurna, bahkan ianya harus dilihat sebagai suatu cabaran yang seharusnya disahut dalam memikul sesuatu tanggungjawab itu.
Keterbukaan juga adalah suatu dasar yang harus dipraktikkan oleh pengurus dan pemimpin yang baik. Sepertimana kita bersikap terbuka dalam mendengar dan mengambil kira cadangan dan idea dari yang dipimpin, seperti itu jugalah keterbukaan itu harus sama dipraktikkan dalam memberi ruang dan peluang ke atas sebarang kritikan dan teguran dari yang dipimpin selagimana ianya benar dan berpaksikan kebaikan bersama.
Kedudukan sebagai pengurus dan pemimpin bukanlah suatu anugerah, malah ianya suatu tanggungjawab. Justeru, mereka seharusnya tidak mempunyai suatu sifat perasan bahawa mereka itu maksum. Islam menuntut kita untuk taat dan patuh kepada pemimpin, tetapi Islam juga tidak melarang bahkan mengizinkan juga menyarankan kita agar menegur sebarang kepincangan pemimpin asal saja tujuannya suci - untuk kebaikan bersama- dan disalurkan melalui medium dan metod yang sepatutnya.
Adalah tidak wajar tatkala pemimpin/pengurus ditegur tentang kesalahannya oleh yang dipimpinnya dengan cara yang betul, lantas dia mengambil tindakan untuk mencari kesalahan penegur, sekaligus dapat pula menghentam penegur itu atas kapasitinya sebagai boss. Sesungguhnya itu suatu tindakan yang tidak beretika.
Berurusan dengan manusia bukanlah suatu proses yang mudah sepertimana berurusan dengan mesin/robot/komputer. Berurusan dengan manusia menuntut kebijakan mental dan emosi pemimpin/pengurus dalam menghadapi karenah yang pelbagai. Disinilah pengurus/pemimpin harus pandai menguasai subjek dan objek.
Dan inilah harga yang perlu dibayar oleh mereka demi merealisasikan matlamat yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Fikri Harun
-
