Friday, October 23, 2009

Al-Qur'an, Hadis & AKAL?

1.Walau kita mengaku kita Islam, belum tentu fikiran kita berjalan seiring dengan Islam. Seringkali tanpa kita sedar, kita telah berjalan seiring dengan idea-idea lain. Aku fikir hal ini disebabkan kekosongan falsafah Islam. Akibatnya, kita cuma menjadi Muslim yang emosional. Perjuangan kita menjadi seakan perjuangan emosional dan sloganistik semata-mata.

2.Bagaimana falsafah Islam dapat dibentuk? Bagi membentuk sesuatu, haruslah ianya juga bersumberkan sesuatu. Aku fikir, sumber Islam hanya dua, pertama dari penciptanya (Al-Qur'an), dan kedua dari pesuruhnya (Hadis & Sunnah).

3.Namun, sejak dari dahulu lagi, kita (entah siapa) telah menambah satu lagi elemen di dalam kerangka proses penakrifan dan penafsiran Islam, yakni - Akal. Justeru dengan penambahan ini, proses ini menjadi sebuah usaha yang bersungguh, yang sebenarnya boleh dilaksanakan oleh sesiapa pun yang sudah berusaha mencari ilmu untuk memutuskan suatu perkara yang tidak dibahas dalam Al-Qur'an mahupun Hadis dengan syarat menggunakan akal sihat dan pertimbangan matang.

4.Proses yang disebut Ijtihad ini bagaimanapun telah diputuskan (oleh entah siapa) sebaiknya hanya dilakukan oleh para ahli agama Islam yang benar-benar mengerti dan faham akan kandungan Al-Qur'an dan Hadis.

5.Aku tidak ingin mempertikaikan tentang penambahan elemen Akal dalam proses Ijtihad ini, cuma ingin aku persoalkan (kepada yang berkenaan) akan gunanya akal itu, samada sebagai sumber atau pun alat?

6.Andai akal diguna sebagai sumber, maka segala sesuatu yang merupakan produk akal, yang kita rasakan tidak bertentangan dengan Al-Qur'an dan Hadis, akan bernamakan Islam. Akibatnya apabila kita memakai baju Melayu; Islam, sembahyang; Islam, bernasyid; Islam. Hal ini telah mengurangkan perbezaan, bahkan menyulitkan pemikiran-pemikiran kita selanjutnya, mana satu yang ditentukan Tuhan dan mana pula yang disesuaikan dengan akal kita.

7.Aku fikir, dalam hal ini, kita harus tahu membezakan antara Islam, yakni ajaran - dengan Islamik yang bermaksud, sesuai, ataupun tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

8.Bagaimana pula jika akal digunakan sebagai alat? Oleh kerana akal itu bermacam-macam, sumber juga bermacam-macam walaupun dalam ruang lingkup Al-Qur'an dan Hadis, maka akan timbul bermacam-macam Islam.

9.Dan inilah yang telah terjadi - wujud dua puak Islam; Sunnah dan Syiah. Dan dikalangannya wujud pula pelbagai Mazhab; Hanbali, Syafie, Maliki, dan Hanafi, juga Jaafariyyah, Ismailiyyah dan Zaidiyah.

10.Justeru, bagaimana seharusnya kita gunakan akal ini? Atau, tinggalkan saja akal ini? Meninggalkan akal, boleh. Tapi ini juga memerlukan akal. Menggunakan akal untuk meninggalkan akal. ???

No comments: