Monday, November 9, 2009

Urus & Pimpin

Individu yang dipertanggungjawabkan terhadap sesuatu perkara (person in charge) haruslah memiliki dua kualiti utama yang mana jika tiada keduanya atau salah satunya maka secara automatiknya tidak melayakkannya untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Dua kualiti teras ini adalah urus (manage) dan pimpin (lead). Bagaimana mungkin kita meletakkan harapan kepada individu yang bukanlah pengurus yang baik, apatah lagi bukan juga pemimpin yang baik, untuk memikul sesuatu tanggungjawab itu?

Pengurus yang baik akan mengurus berpandukan objektif, manakala pemimpin yang baik akan memimpin dengan kemanusiaan. Maka gabungan kedua-dua kualiti teras ini -manage by objective, lead with humality- akan menghasilkan suatu tadbir urus yang efisyen dan efektif.

Pengurus yang baik seharusnya dapat membezakan di antara yang mendesak/perlu disegerakan (urgent) dengan yang penting (important), sepertimana pengurus negara kita menyatakan pendiriannya - rakyat didahulukan (first), pencapaian diutamakan (now). Tanpa objektif/matlamat yang jelas, adalah mustahil sesuatu perkara itu dapat diuruskan dengan baik (mencapai objektif/matlamat).

Pemimpin yang baik pula harus bijak dalam mendifinisikan sesuatu perihal itu sebagai umum (hal bersama) ataupun khusus (hal peribadi). Seandainya hal peribadi di-umum-kannya, maka mana mungkin yang dipimpin dapat menyatakan kesetiaan mereka seterusnya menzahirkan rasa hormat kepada pemimpin. Dan tercetuslah apa yang dinamakan - krisis kepimpinan.

Tidak timbul soal pertama kali dipertanggungjawabkan. Frasa pertama kali dipertanggungjawabkan hanyalah semata-mata alasan yang dicipta dalam proses mempertahankan diri atau melepaskan diri, tanpa mahu mengakui kekurangan sendiri. Seharusnya pengurus dan pemimpin yang baik bersandar pada prinsip - betul pertama kali dan setiap kali.

Prinsip betul pertama kali dan setiap kali pula bukanlah suatu prinsip yang mahu menidakkan frasa klise- tiada yang sempurna, bahkan ianya harus dilihat sebagai suatu cabaran yang seharusnya disahut dalam memikul sesuatu tanggungjawab itu.

Keterbukaan juga adalah suatu dasar yang harus dipraktikkan oleh pengurus dan pemimpin yang baik. Sepertimana kita bersikap terbuka dalam mendengar dan mengambil kira cadangan dan idea dari yang dipimpin, seperti itu jugalah keterbukaan itu harus sama dipraktikkan dalam memberi ruang dan peluang ke atas sebarang kritikan dan teguran dari yang dipimpin selagimana ianya benar dan berpaksikan kebaikan bersama.

Kedudukan sebagai pengurus dan pemimpin bukanlah suatu anugerah, malah ianya suatu tanggungjawab. Justeru, mereka seharusnya tidak mempunyai suatu sifat perasan bahawa mereka itu maksum. Islam menuntut kita untuk taat dan patuh kepada pemimpin, tetapi Islam juga tidak melarang bahkan mengizinkan juga menyarankan kita agar menegur sebarang kepincangan pemimpin asal saja tujuannya suci - untuk kebaikan bersama- dan disalurkan melalui medium dan metod yang sepatutnya.

Adalah tidak wajar tatkala pemimpin/pengurus ditegur tentang kesalahannya oleh yang dipimpinnya dengan cara yang betul, lantas dia mengambil tindakan untuk mencari kesalahan penegur, sekaligus dapat pula menghentam penegur itu atas kapasitinya sebagai boss. Sesungguhnya itu suatu tindakan yang tidak beretika.

Berurusan dengan manusia bukanlah suatu proses yang mudah sepertimana berurusan dengan mesin/robot/komputer. Berurusan dengan manusia menuntut kebijakan mental dan emosi pemimpin/pengurus dalam menghadapi karenah yang pelbagai. Disinilah pengurus/pemimpin harus pandai menguasai subjek dan objek.

Dan inilah harga yang perlu dibayar oleh mereka demi merealisasikan matlamat yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Fikri Harun

Friday, October 23, 2009

Al-Qur'an, Hadis & AKAL?

1.Walau kita mengaku kita Islam, belum tentu fikiran kita berjalan seiring dengan Islam. Seringkali tanpa kita sedar, kita telah berjalan seiring dengan idea-idea lain. Aku fikir hal ini disebabkan kekosongan falsafah Islam. Akibatnya, kita cuma menjadi Muslim yang emosional. Perjuangan kita menjadi seakan perjuangan emosional dan sloganistik semata-mata.

2.Bagaimana falsafah Islam dapat dibentuk? Bagi membentuk sesuatu, haruslah ianya juga bersumberkan sesuatu. Aku fikir, sumber Islam hanya dua, pertama dari penciptanya (Al-Qur'an), dan kedua dari pesuruhnya (Hadis & Sunnah).

3.Namun, sejak dari dahulu lagi, kita (entah siapa) telah menambah satu lagi elemen di dalam kerangka proses penakrifan dan penafsiran Islam, yakni - Akal. Justeru dengan penambahan ini, proses ini menjadi sebuah usaha yang bersungguh, yang sebenarnya boleh dilaksanakan oleh sesiapa pun yang sudah berusaha mencari ilmu untuk memutuskan suatu perkara yang tidak dibahas dalam Al-Qur'an mahupun Hadis dengan syarat menggunakan akal sihat dan pertimbangan matang.

4.Proses yang disebut Ijtihad ini bagaimanapun telah diputuskan (oleh entah siapa) sebaiknya hanya dilakukan oleh para ahli agama Islam yang benar-benar mengerti dan faham akan kandungan Al-Qur'an dan Hadis.

5.Aku tidak ingin mempertikaikan tentang penambahan elemen Akal dalam proses Ijtihad ini, cuma ingin aku persoalkan (kepada yang berkenaan) akan gunanya akal itu, samada sebagai sumber atau pun alat?

6.Andai akal diguna sebagai sumber, maka segala sesuatu yang merupakan produk akal, yang kita rasakan tidak bertentangan dengan Al-Qur'an dan Hadis, akan bernamakan Islam. Akibatnya apabila kita memakai baju Melayu; Islam, sembahyang; Islam, bernasyid; Islam. Hal ini telah mengurangkan perbezaan, bahkan menyulitkan pemikiran-pemikiran kita selanjutnya, mana satu yang ditentukan Tuhan dan mana pula yang disesuaikan dengan akal kita.

7.Aku fikir, dalam hal ini, kita harus tahu membezakan antara Islam, yakni ajaran - dengan Islamik yang bermaksud, sesuai, ataupun tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

8.Bagaimana pula jika akal digunakan sebagai alat? Oleh kerana akal itu bermacam-macam, sumber juga bermacam-macam walaupun dalam ruang lingkup Al-Qur'an dan Hadis, maka akan timbul bermacam-macam Islam.

9.Dan inilah yang telah terjadi - wujud dua puak Islam; Sunnah dan Syiah. Dan dikalangannya wujud pula pelbagai Mazhab; Hanbali, Syafie, Maliki, dan Hanafi, juga Jaafariyyah, Ismailiyyah dan Zaidiyah.

10.Justeru, bagaimana seharusnya kita gunakan akal ini? Atau, tinggalkan saja akal ini? Meninggalkan akal, boleh. Tapi ini juga memerlukan akal. Menggunakan akal untuk meninggalkan akal. ???

Di Persimpangan Perjuangan Yang Menyimpang?

Betapa Ketua Pemuda atau mungkin "Penulis Teks Ucapan"nya menyedari hakikat bahawa:

Cabaran sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengurus persekitaran politik yang jauh berbeza daripada kebiasaan sebelum ini. Kita berhadapan dengan pengundi yang lebih berpendidikan dan terdedah kepada dunia. Mereka lebih mudah membuat perbandingan akan tahap pencapaian dan amalan politik di Malaysia dengan negara-negara lain. Ramai daripada kumpulan ini merupakan generasi muda; hampir tujuh juta dari pengundi pada PRU-13 nanti terdiri daripada pengundi muda. Generasi ini tidak boleh dipaksa untuk menyokong kita dengan hujah bahawa mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN. Pendekatan tersebut mungkin boleh digunapakai dahulu tetapi bagi generasi muda sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan dan bukan apa yang telah serta pernah dilaksanakan.

Justeru 'mereka' (Ketua Pemuda & Penulis Teks Ucapannya) meminta pada Sang Ketua Segala Menteri mempertimbangkan beberapa inisiatif khas untuk generasi muda sebagai salah satu daripada teras utama dalam Bajet akan datang yang antara lainnya, meliputi:

[i] Peluang perkerjaan yang lebih luas serta berkualiti tinggi terutamanya di sektor-sektor strategik seperti perkhidmatan, teknologi maklumat dan bio-teknologi;

[ii] Peluang latihan sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran seperti penguasaan bahasa-bahasa antarabangsa dan teknologi terkini;

[iii] Pinjaman khas untuk usahawan muda, terutamanya bagi mengatasi halangan modal perniagaan di peringkat start-up atau permulaan serta bagi menggalakkan penyertaan mereka di sektor-sektor baru yang berteknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah kepada ekonomi;

[iv] Sokongan bagi gerak kerja sukarelawan dan pembangunan kebajikan komuniti; serta

[v] Menambahkan lagi peluang pekerjaan untuk pelajar lepasan aliran teknikal dan vokasional.


Juga 'mereka' tidak lupakan nasib golongan muda yang baru sahaja memulakan hidup berkeluarga, yang baru sahaja bekerja dan mempunyai pelbagai tanggungan, termasuklah membantu ibubapa dan membayar pinjaman pendidikan. Lantas, 'mereka' meminta lagi:

[i] Menubuhkan tabung untuk pinjaman perumahan dengan kadar faedah yang terendah untuk beberapa tahun pertama agar orang muda yang baru berkahwin mampu memiliki rumah;

[ii] Memberi diskaun istimewa untuk kereta nasional kepada mereka yang mempunyai anak pertama dan baru hendak memiliki kereta;

[iii] Memperuntukkan RM200 bagi anak pertama setiap keluarga sebagai simpanan permulaan Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional; dan

[iv] Menawarkan baucer membeli barangan keperluan asas bayi seperti susu dan lampin.


'Mereka' percaya bahawa dengan gerak kerja dan khidmat yang berterusan, insya-Allah BN akan dapat memenangi hati dan sokongan generasi muda yang merupakan aset dan harapan negara kita.

Namun, sejurus selepas itu, 'mereka' mula tersasar. Setelah menyatakan kesedaran 'mereka' dan setelah meminta-minta untuk semata-mata menunjukkan pada sasaran 'mereka' apa yang 'boleh' atau 'mahu' 'mereka' laksanakan, 'mereka' mula meruntuhkan apa yang baru sahaja cuba 'mereka' bina.

Golongan muda tidak memerlukan kata-kata serangan murahan yang boleh didapati di mana-mana, khususnya ketika kempen pilihanraya, apatah lagi ianya diucapkan pula oleh Ketua Pemuda Umno yang seharusnya berucap secara intelek sesuai dengan kelulusan dan jawatannya.
(Mungkin juga 'Penulis Teks Ucapan'nya tidak berkelulusan setingginya).

Pakatan Rakyat diperlekeh - Rakyat kini dihidangkan dengan pilihan antara gagasan yang membangunkan negara sejak sekian lama, yakni Barisan Nasional, atau pakatan pembangkang yang terus menerus memecahbelahkan rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang ini. Bahawa mereka bukannya sebuah parti politik yang tulen; bahawa perhubungan mereka bukannya berteraskan ikatan yang sah atas prinsip yang sama. Apa yang sebenarnya wujud hanyalah satu perhubungan rambang dan kasual, tanpa prinsip moral, tanpa cinta sejati, tanpa hormat-menghormati. Satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional.

PAS diperendah - PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila Negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka. PAS tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor. Ini menzahirkan bahawa PAS sanggup tawar menawar dengan DAP hatta menggadai jatidiri dan perjuangan asas mereka demi politik. Kalau begitulah keadaannya, tiada jaminan mereka tidak akan mempertaruh atau menjual negara, sekiranya berkuasa.

DAP dipertikai - Kalau DAP yang paling berkuasa, maka kita berhak untuk bertanya: siapa sebenarnya DAP ini? Bertopengkan platform parti berbilang bangsa, tetapi hakikatnya mereka didominasi oleh satu kaum sahaja. Selepas 40 tahun Lim Kit Siang menjadi Ahli Parlimen, pembukaan satu cawangan Melayu DAP bulan lepas digembar-gemburkan seolah-olah satu pencapaian yang cukup hebat. DAP hanya parti berbilang kaum pada namanya sahaja, sedangkan perjuangan sebenar mereka berunsur perkauman yang menyala membara seperti api dalam sekam.

Dan PKR, tidak diserang teruk seperti rakan-rakannya. Sasaran 'mereka' adalah Ketua Umum PKR itu semata-mata. - PKR pula parti yang tandus ideologi, sekadar berkisar pengagungan seorang individu bernama Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya prinsip perjuangan PKR, atau adakah mereka sama seperti DAP yang dahagakan kuasa? Kalau kononnya berjuang atas tiket keadilan dan anti rasuah, lihat sendiri pemimpin kamu itu wahai PKR. Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dia-lah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin UMNO sebagai rasuah, rakus dan rasis.

Tetapi Anwar Ibrahim jangan kamu lupa sejarah kamu, kerana kami tidak lupa perbuatan lampau kamu. Apakah semata-mata Anwar Ibrahim beralih menjadi pembangkang, sejarah silamnya, segala dosa lamanya akan lesap begitu saja? Sejarah akan sentiasa membayangi Anwar ke mana sahaja dia pergi dalam arena politik. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi manusia? Atau apakah Anwar Ibrahim berjuang semata-mata untuk kepentingan peribadi Anwar Ibrahim? Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar; seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam. Tetapi UMNO dan Pemuda UMNO ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya.


Pantas, 'mereka' menyeru kawan-kawan 'mereka' - Oleh itu, saudara sekalian, marilah kita bersama-sama bersatu mendedahkan helah dan dakyah pembangkang ini.

Adakah itu maksud BERSATU yang 'mereka' perkatakan sebagai salah satu dari lima Rukun Pemuda?

Walhal di permulaan bicara 'mereka' mengatakan - Sewajarnya, kita menginsafi bahawa kita, insan yang serba kerdil ini telah diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin dan juga wakil di dewan yang mulia ini. Hadirnya jasad dan roh kita bukan atas nama individu dengan kepentingan diri sendiri. Hadirnya kita di sini adalah bernawaitukan kepada Allah SWT, bagi mendukung dan memperkasakan institusi UMNO serta Pemuda UMNO yang telah menjadi wadah pembangunan bangsa dan negara.

Bahkan sepotong Kalamullah ini dipetik buat penyedap bicara (mungkin) semata. - "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya." Surah Al Maidah, ayat 2.

Juga 'mereka' katakan - Allah SWT tidak menyatukan kita untuk melakukan perkara yang mungkar, membawa kerosakan dan kepincangan kepada bumi dan bangsa. Kita disatu dan disepakatkan melalui proses politik untuk berbakti dan mencurah amal kebajikan kepada umat dan watan kita, menyempurnakan satu ibadah sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Az Zariyat, ayat 56: "Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku."

Adakah dengan memperendah, memperlekeh, mempertikai pihak pembangkang atas tujuan "mendedahkan helah dan dakyah pembangkang" itu merupakan salah satu kaedah untuk berbakti dan mencurah amal kebajikan kepada umat dan watan kita, menyempurnakan satu ibadah?

Sesungguhnya, ungkapan dan bait-bait ayat yang menyerang pihak pembangkang telah mencacatkan teks ucapan ini sekaligus telah mengecewakan saya dan mereka-mereka yang meletakkan 'standard' dan harapan yang tinggi untuk mendengar sebuah ucapan dasar yang begitu bagus dari seorang Ketua Pemuda Umno yang tinggi kelulusan akademiknya.

Hurmmm...

1Malaysia

Hari ini rakyat dibebankan pula dengan slogan 1Malaysia. Perdana Menteri Najib mencipta slogan baru kerana tidak mahu teruskan slogan Pak Lah. Entah ke mana perginya integriti dan ketelusan. Di mana hilangnya “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”? Menentang rasuah juga tidak lagi kedengaran. Perdana Menteri sekarang berhempas pulas cuba perjelaskan konsep idamannya itu tetapi makin lama makin keliru rakyat Malaysia. Rakyat jelata terus kebingungan. Najib kata 1Malaysia bukan proses asimilasi dengan memberi jaminan identiti kaum dan etnik tidak dilenyapkan. Dia kata teras perpaduan akan dikekal dan diperkuatkan. Dengan lain perkataan Malaysia akan terus melaksanakan prinsip-prinsip kenegaraan kepada semua kaum berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Malah katanya Rukunegara akan kekal sebagai teras kenegaraan.

Kalaulah semua ini yang dimaksudkan dengan 1Malaysia, mengapa perlu slogan yang baru? Mengapa perlu ungkapan baru mengenai perkara-perkara yang jelas termaktub dalam Perlembagaan sejak 52 tahun dahulu? Kecualilah kalau Perdana Menteri ada tafsiran baru bagi peruntukan -peruntukan dalam Perlembagaan Negara.

Zaid Ibrahim

Pesan Dari Kuala Dan Bukit

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2009 - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

BUKIT ARAFAH, 9 Zulhijjah 10Hijrah - Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin yang mana antara isinya baginda mengingatkan umatnya tentang dua perkara yang ditinggalkannya, yang sekiranya kita berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kita tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahnya.

Wakil Parti dan Wakil Rakyat

1.Pabila tiba musim pilihanraya, maka calon2 yang terpilih untuk bertanding mewakili parti masing2 akan mula berkempen. Sepanjang tempoh berkempen, mereka adalah wakil parti. Wakil parti yang menyampaikan misi dan visi parti yang diwakili. Wakil parti yang menabur janji2 manis dari partinya buat memancing undi semata.

2.Kemudian, andai menang keputusannya, maka mereka kini bukan lagi sekadar wakil parti, malah juga wakil rakyat. Sesi selepas menang, adalah sesi bekerja mencapai misi dan visi, serta juga menunaikan segala janji yg ditabur. Pada ketika ini, mereka bekerja bukan lagi untuk parti semata2, tetapi keutamaan haruslah untuk rakyat yang telah memilih mereka. Pekerjaan sepenuh masa mereka kini adalah wakil rakyat. Tanggungjawab utama mereka kini adalah mewakili rakyat.

3.Namun, sedih sekali melihat gelagat mereka di dewan. Masing2 terbahagi kepada dua, Kerajaan dan Pembangkang. Kemudian baru berpecah mengikut kawasan yang diwakili. Namun, setiap kali isu dibangkitkan, suara2 yang menyokong dan membangkang lebih kepada suara2 yang seolah2 mewakili parti, bukannya suara yang mewakili rakyat dari kawasan2 yg diwakili. Mengapa ya?

4.Najib kini sering memekik bahwa Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Ianya amat baik dan memang patut diikuti oleh semua wakil rakyat Malaysia. Dahulukan rakyat. Utamakan pencapaian. Kurangkan berpolitik.

5.Kepada wakil rakyat-wakil rakyat Malaysia, kalian haruslah tahu untuk membezakan tanggungjawab antara Wakil Parti dan Wakil Rakyat, juga bilakah masanya tanggungjawab2 itu harus diilaksanakan.

6.Kami rakyat telah membayar kalian, usahlah kalian membuat kami melihat kalian seolah2 memakan gaji buta.

Raja: Benarkah Raja?

1.Sebahagian para hukama mengatakan ‘Seseorang raja mestilah mengelak daripada wujudnya seseorang dalam kalangan rakyatnya yang lebih baik pegangan agamanya dan lebih ditaati perintahnya. Bagaimana mungkin raja mengharapkan kestabilan pemerintahannya serta kedamaian negaranya sedangkan agama diabaikannya?’

2.Siapakah di kalangan kita boleh dengan hujah yang kukuh mengatakan Raja Indera Kayangan itu lebih baik pegangan agamanya berbanding Haron Din? Siapa pula yang boleh mengemukakan dalil bahawa Sultan Darul Naim itu lebih baik pegangannya dan lebih ditaati perintahnya berbanding Nik Aziz?

3.Bukanlah niatku hendak merendahkan kedudukan Sultan yang jelas memiliki istana yang gah berbanding pondok burukku. Cuma kuingin agar seseorang raja mahupun sultan sesuai dengan gelarannya selaku ketua agama, berfungsi sepatutnya.

4.Satu contoh mudah kuketengahkan, alihkan perhatian kita sebentar pada permaisuri mahupun sultanah. Sesetengah mereka manis bertutup aurat, sesetengahnya pula bertudung sekerat kepala berjambul, dan sesetengah yang lain langsung tidak bahkan hanya dihiasi mahkota diraja. Apakah tafsiran yang mampu kita berikan pada senario sebegini?

5.Isteri kepada seorang ketua agama sendiri tidak menjalankan perintah agamanya. Bukankah ini penderhakaan kepada Tuhan. Adakah suaminya tidak mampu untuk berdakwah kepada isterinya yang seorang ini? Justeru bagaimana mungkin suami yang juga raja ini menjadi ketua agama kepada rakyatnya? Dan adakah si suami rela untuk turut bersubahat dengan isterinya untuk sama-sama menderhakai perintah Tuhan? Tepuk dada tanyalah selera.

6.Sesungguhnya raja ialah wakil Tuhan untuk hamba dan bumi-Nya. Urusan perwakilan ini tidak akan stabil bersama penderhakaan kepada Tuhan. Percayalah, mereka yang berbahagia dalam kalangan raja-raja ialah mereka yang memelihara agama dengan kekuasaannya dan bukan memelihara kekuasaan dengan agamanya.

7.Aku bukanlah seorang rakyat raja yang tidak setia dan hamba Tuhan yang baik pegangan agamanya, namun hati dan akal ini tertarik untuk mengajak semua rakyat merenung jauh dan berfikir, adakah raja kita benar-benar seorang raja?

Teguran Terbuka Kepada Saudara Zahid Hamidi

2 Ogos 2009

"Berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu memberi ancaman dan mudahkanlah dan janganlah kamu menyusahkan."

Assalamualaikum wbt Saudara Zahid Hamidi dan sesiapa jua yang membaca.

Mungkin kehadiran teguran ini telah agak lambat dari yang sepatutnya (berikutan ucapan Saudara Zahid Hamidi yang bernada kasar dan keras, berbaur ancaman kepada yang bukan Islam pada Perhimpunan Agung Umno yang lepas). Namun kami Anak Melayu merasakan keperluan untuk kami tetap menegur apa yang kami klasifikasikan sebagai 'salah' ataupun 'pincang' tambahan pula dilakukan oleh seorang pemimpin Islam di negara ini.

Pembuka bicara di atas adalah petikan sebuah sabda Rasulullah yang sangat jelas perkataannya. Bahawa kita di dalam menyebarkan risalah Islam haruslah tanpa sebarang ancaman dengan kekerasan dan kata-kata kasar.

Sesungguhnya kita yang beragama Islam, yang bertanggungjawab menyebarkan risalah Islam, sebenarnya merupakan utusan-utusan yang membawa kedamaian dan kasih sayang. Namun apabila salah seorang daripada kita mengabaikan kaedah anjuran Rasulullah ini, maka dia menjadi seseorang yang menjadi ancaman kepada kehidupan dengan cara memperkenalkan kekerasan, kekejaman dan menjadikan mereka (baik muslim mahupun bukan) putus asa daripada mendapatkan limpahan rahmat Allah.

Justeru kami Anak Melayu mengingatkan Saudara Zahid, diri kami dan seluruh saudara seagama, untuk tidak menjadi ancaman kepada orang lain ketika menyampaikan ceramah, khutbah, ucapan, pidato mahupun kenyataan-kenyataan terbuka sehingga seolah-olah kasih sayang dan azab hanya wujud dalam genggaman kita.

Ingatlah! Bahawa agama Islam yang kita yakini ini tidak mempunyai 'bapa' dan tidak pula 'ibu', melainkan setiap kita adalah pembawa risalah ketuhanan yang bersifat universal, iaitu risalah kedamaian, persaudaraan, kemanusiaan, hidayah dan kasih sayang. Tiada seorang pun dari kalangan kita yang dibenarkan memonopoli tanggungjawab secara mutlak terhadap agama Islam dan tiada seorang pun juga yang dibenarkan menjadi juru bicara tunggal atas nama agama.

Sesungguhnya ungkapan ancaman dan gertakan ketika menyampaikan nasihat, teguran dan peringatan, bermakna bahawa seorang pembicara itu belum memahami tujuan-tujuan yang terkandung dalam syariat Rasulullah. Dia berbicara hanya menurut tabiatnya yang kasar, mudah melatah dan melenting disamping menggunakan pendekatan pesimistik.

Marilah kita renungkan bersama firman Allah yang bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat dari Allah, Engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu..." (Ali Imran:159)

Sesungguhnya teguran ini bertujuan baik untuk mengingat dan memberi kesedaran kepada kita semua sesuai dengan saranan Allah di dalam surah Al-Asr.

Semoga saudara Zahid, kami dan seluruh saudara seagama akan sentiasa beringat untuk tidak mengulang salah yang sama di hari muka.

Akhir kata, ingatlah bahawa kunci-kunci syurga itu terletak dalam genggaman Allah. Dialah yang telah menciptakan kita dari tanah dan mengetahui kelemahan kita. Dia tidak memerlukan kita tetapi sebaliknya Dialah yang menyeru kita dengan kasih dan rahmat disamping menjanjikan kita kasih sayangNya.

Sesungguhnya juga Dialah Yang maha Penyayang.

Hudud: Mengapa Harus Takut?

Perlaksanaan hukum hudud tidak seharusnya membimbangkan orang-orang Islam mahupun bukan Islam, kerana hukum hudud bertujuan mewujudkan suasana aman yang sebenar kepada semua penduduk negara tanpa mengira bangsa.

Kita dan mereka tidak seharusnya merasa takut kepada hukum hudud selama kita dan mereka

1) menaruh kebencian dan menentang perlakuan-perlakuan jenayah hudud yang keji itu, atau

2) tidak bercita-cita untuk melibatkan diri dalam jenayah-jenayah yang jahat itu, atau

3) tidak rela kedai-kedai kita dan mereka dicuri, atau

4) tidak rela melihat isteri dan anak-anak kita dan mereka dilarikan dan dirogol dengan kejam, atau

5) berharap untuk tidur nyenyak dalam suasana aman dan selesa tanpa mengenakan pintu-pintu rumah dengan bermacam penggera yang canggih dan tanpa memasang mangga-mangga kunci yang berlapis seolah-olah penjara-penjara kecil di tengah-tengah bandar.

Perlaksanaan hukuman hudud di hadapan mata suatu perhimpunan ramai akan membuatkan para penjenayah yang menjalani hukuman itu benar-benar merasa bahawa mereka sedang dihukum oleh orang ramai.

Di sinilah letaknya faktor-faktor keberkesanan hukum hudud yang dapat melahirkan kesan-kesan pencegahan hingga membuat setiap orang yang bercita-cita melakukan jenayah terpaksa berfikir sedalam-dalamnya sebelum melangkah ke alam jenayah.

Seruan Ke Arah Menjalin Hubungan Diplomatik

Kami Anak Melayu mengajak seluruh Muslim Melayu untuk menjalin hubungan harmoni antara satu sama lain selain dengan Syaitan.

Kita perlu untuk membentuk hubungan erat antara seorang hakim dengan yang dihukum, pemimpin dengan yang dipimpin, guru dengan pelajar, bapa dengan anak, dan suami dengan isteri.

Kita perlu membina jalinan persaudaraan yang kental sehingga dapat menemukan kefahaman yang erat antara kita, kerana di tengah-tengah kita sekarang ini telah terjadi perbezaan pandangan, parti, kelompok dan status yang mana kita telah lupa akan ajaran ketuhanan yang bersifat universal sebagai ajaran keimanan.

Pemimpin telah membuat rakyat merasa mual, terancam, marah dan benci sehingga mereka tidak lagi taat setia, menyebar fitnah dan pergaduhan. Rakyat pula memandang pemimpin sebagai golongan zalim yang menyekat kebebasan dan membatasi hak-hak yang semestinya dimiliki oleh setiap individu.

Setiap orang Melayu yang beragama Islam pula terdiri daripada beberapa kumpulan di mana setiap satu kumpulan sentiasa sibuk mencari keburukan-keburukan antara satu sama lain.

Cerdik pandai pula masih lagi bergaduh sesama sendiri. Ada di antara mereka yang berwawasan Islam, liberal, sekular, modenis, manakala masyarakat awam pula sibuk memuji puak mereka, menceritakan kedudukan dan kelebihannya seakan-akan puaknya tidak pernah melakukan kesalahan walau sedikit pun.

Sesetengah lelaki memandang perempuan telah merampas hak-haknya dan berbuat zalim kepada kaum lelaki. Sementara kaum perempuan pula berteriak kerana dizalimi kaum lelaki. Kaum lelaki kononnya telah menindas, berbuat kasar dan tidak bertanggungjawab.

Guru memandang muridnya tidak bermoral dan tidak ada tumpuan dalam pelajaran, sedangkan murid pula melihat gurunya berperilaku buruk, mementingkan kebendaan, dan tidak amanah.

Dengan cara yang demikian masyarakat saling berperang dan bermusuhan sesama sendiri. Pihak yang dizalimi kadang kala pihak yang berkuasa dan ada kalanya masyarakat awam. Jika propaganda yang dilakukan tidak menjadi, maka pihak lawan akan didoakan dengan kebinasaan. Jika itu tidak berkesan, maka pihak lawan diancam dengan neraka dan tempat yang paling buruk di akhirat kelak.

Marilah sekarang kita membina satu jalinan yang indah di bawah satu panji - Melayu Islam. Marilah kita saling bertolak ansur, berjabat tangan, saling memberi nasihat dan saling memaafkan antara satu sama lain.

Hentikanlah kenyataan-kenyataan jahat dan ancaman. Tutuplah sikap saling menghakimi samada menerusi tulisan mahupun laman blog, tutuplah mulut lebar yang sering mencerca orang lain di media massa dan belajarlah akhlak mulia.

Tinggalkanlah perbuatan memfitnah, memandang rendah orang lain dan mencela, kerana perbuatan ini teramat jahat, keji dan bodoh.

Kita menghendaki para cerdik pandai dan ulama' memperdengar ungakapan yang baik, indah, berfaedah, manis dan mulia.

Kita perlukan tenaga sosial dan perdamaian yang dimulakan dari pemimpin hingga ke rakyat biasa. Kita kerap bersikap kasar ketika berinteraksi dengan masyarakat terutamanya dengan seseorang yang berlainan fahaman dengan kita.

Seorang ilmuan apabila ingin menyanggah ilmuan lain yang berhujah dengannya, terlebih dahulu dia menghinanya, mendedahkan keburukannya bahkan memusuhinya, sehingga tidak asing lagi apabila kita mendengar kata-kata 'kafir', 'fasik', dan 'sesat' keluar dari mulutnya.

Ada lagi sesetengah pemikir yang menggunakan kata hinaan dan cacian terhadap sesiapa yang berlainan pendapat dengannya. Mereka menuduh lawan sebagai kolot, jumud, pengganas dan fanatik.

Ada lagi sesetengah pihak yang telah menempah tempat duduk di dalam syurga dan menutup pintu syurga yang lain bagi orang lain yang juga menginginkan syurga.

Setelah kita dijadikan sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, kita menjadi saling bermusuhan, saling mencaci, dan berperang di antara satu sama lain.

Muslim Melayu membunuh orang Muslim Melayu sendiri, Muslim Melayu menyembelih Muslim Melayu, dan Muslim Melayu membakar Muslim Melayu. Seseorang yang selamat dari dibunuh belum tentu selamat dari dihina, dikhianati dan difitnah.

Kita amat perlu membina persaudaraan, menjalin hubungan harmoni dan menghilangkan sebab-sebab permusuhan sekaligus memotong akar kejahatan dan membasni kebencian.

Sebelum kamu menghina kami maka berdialoglah terlebih dahulu. Sebelum kamu menghakimi kami maka dengarlah dahulu kata kami. Sebelum kamu mendedahkan keburukan kami maka nasihatilah kami dan sebelum kamu memusuhi kami maka berilah kesempatan kepada kami supaya kami dapat mempertahan diri.

Panji Hitam Ufuk Timur

1.Selama aku mendalami ilmu-ilmu ugama, acapkali aku terdedah kepada cerita masa hadapan yang mewar-warkan akan munculnya (jika tidak silap) ratusan ribu tentera Islam di bawah panji hitam dari ufuk timur.

2.Sabda Baginda Rasul Akhir Zaman: “Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan (timur), maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk.” (Ibnu Majah, Abu Nuaim & al-Hakim)

3.Setahu aku Khalifah Allah yang mendapat petunjuk itu adalah Imam Besar al-Mahdi. Kerana pengetahuan cetekku tentang ilmu bahasa arab menjelaskan bahawa Imam itu membawa makna pemimpin, dan Mahdi pula adalah orang yang mendapat petunjuk.

4.Namun hairan sekali aku tatkala mendengar khabar sahih tentang kewujudan sebuah angkatan di tanah air ini yang katanya bertapak di sebuah gelanggang silat di sebuah daerah di utara semenanjung ini yang digelar Panji Hitam Ufuk Timur.


5.Apa sudah munculkah lagi seorang makhluk Allah yang bernama Muhammad bin Abdullah itu?

6.Apa sudah dibaiah laki-laki itu antara maqam Ibrahim dengan sudut Kaabah?

7.Tidak sekali-kali aku berprejudis akan mereka itu yang keseluruhannya mungkin Melayu Islam sepertiku. Mungkin suci niat mereka ingin berjuang demi Islam, Melayu dan Tanah Melayu seperti juga diriku. Cuma semata-mata yang aku persoalkan, wajarkah mereka mengaitkan diri mereka dengan sabda insan ulung tiada ganti itu?

8.Wajarkah dipampangkan hadis itu di setiap laman yang berkaitan mereka? Tidak aku persoalkan penggunaan bendera atau panji hitam tertera kalimah syahadah itu sebagai lambang identiti mereka. Mereka berhak mengagungkan kalimah suci itu kerana mereka mengimaninya (harapnya), namun berhakkah mereka mengatakan bahawa mereka-mereka itulah golongan yang disebut-sebut di dalam sabda?

9.Apa benar mereka tentera Islam yang berimamkan Mahdi? Apakah sungguh mereka-mereka itu askar-askar Allah yang setekad jiwa dan raga berjihad demi Allah sedangkan (segelintir) berlubang di kiri-kanan cuping telinga, berkarat di rambut asal?

10.Bukanlah aku insan mulia. Tapi akal logik umat Islam manakah yang akan mengiyakan mereka-mereka itu pejuang Islam sebaik melihat penampilan yang amatlah menyimpang dari syari'at? Luarannya sudah menyimpang, bagaimana pula hatinya?

11.Bukankah beriman itu memperakui dengan lafaz (lisan), menzahirkannya dengan amalan (perlakuan) lantas meyakininya dengan hati? Ya benar mereka melafazkannya. mungkin juga benar lafaz itu seiring hati, tapi adakah zahirnya begitu, juga seiring sejalan seia dan sekata? Andai salah satu dari tiga ini pincang, maka lengkapkah iman mereka? Dan adakah askar-askar Allah yang terpilih itu sifatnya tidak sempurna imannya?

12.Fikir-fikirkanlah duhai mereka yang termakan cili.