Saturday, June 21, 2008

AUKU di dalam Al-Qur’an: Sejarah yang Berulang


1. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

2. Seorang anak lelaki datang kepadanya, lalu mahkotanya dirampas. Mimpi yang sama berulang untuk kesekian kalinya. Resah dek mimpi, dititahkannya segala bangsawan-bangsawan, ketua-ketua dan yang berkaitan duduk bersidang, cuba menyelak tirai igaunya, melihat apa disebaliknya.

3. Cuba menyampaikan pandangan, Ahli Nujum Diraja bersuara: “Adapun dalam tilikan patik pacal yang hina ini, akan ada seorang anak lelaki dari kalangan Bani Israel yang kita perhambakan selama ini bakal mencabar takhta tuanku di kemudian hari.”

4. ‘Sekian lama aku membangunkan Mesir dan tamadun agung, adakah ia akan terlepas dari kekuasaanku kemudian nanti? Oleh hamba-hamba Bani Israel? Mustahil!’ bisik hati kecilnya.

5. “Apakah yang tuanku bingungkan? Ayuh bunuh saja sekalian anak-anak dari kalangan Bani Israel yang lelakinya dan bayi perempuannya jangan pula kita bunuh.” giliran Penasihat Diraja mengangkat sembah.

6. Lantas tanpa sedikit pun berfikir, maka dititahkannya: “Maka bermula saat ini, anak-anak lelaki itu harus dibunuh. Dan bayi perempuannya kita biarkan hidup. Ini bagi menjamin kekuasaan kita.”

7. Ketua-ketua dari kaum Firaun berkata: “Adakah engkau (Firaun) membiar Musa dan kaumnya berbuat kerosakan di bumi dan meninggalkanmu dan yang dipuja olehmu?” Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan biarkan anak-anak perempuan mereka hidup, dan kita tetap menguasai mereka”. (al-‘Araf: 127)

8. Dan (ingatlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu; dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; … (al-Baqarah: 49)

9. Maka semenjak dari itu, tanah Mesir bersiramkan darah. Begitulah balasannya untuk perhambaan Bani Israel ke atas ketuanannya. Tiada secubit pun penghargaan, malah zuriat mereka ditamatkan riwayatnya.

10. Beberapa tahun berlalu, Fir’aun kekal tidak berganjak daripada keputusannya jua dari kekuasaanya. Segala sungai dan saliran air di bumi Mesir memerah dek kerna darah merah zuriat Bani Israel yang tumpah akibat kegilaan Fir’aun demi mempertahan kekuasaannya.

11. Selepas itu, pembangunan Mesir semakin perlahan. ‘Mengapa agaknya pembangunan di negara aku ini makin tidak terurus?’ hairan Sang Raja. Kekhuatirannya bertambah apabila kerajaan-kerajaan lain seperti Saba dan lain-lain seakan menyainginya.

12. Hal apa yang menyebabkan tuanku memanggil kami dalam sidang tergempar di hari ini? Dan apakah gerangannya maka tuanku bersugul hati, sedih, berdukacita, gundah gulana dan bermuram durjana? Persoalan demi persoalan diajukan baik daripada si bodek mahupun si turut.

13. “Beta risau dengan pembangunan di negara ini,” Sang Raja mula bersuara, “Apakah sebenarnya masalah kita? Tidak cukup perbelanjaankah?”

14. Seperti sebelumnya si Penasihat Diraja pasti saja bersuara melontarkan idea dan pandangannya: “Kita kekurangan tenaga kerja tuanku. Selama ini ramai pemuda Bani Israel yang kita perhambakan untuk membangunkan piramid dan merekalah yang merancakkan pembangunan negara selama ini.”

15. “Habis … di manakah mereka sekarang ini? Kurang makankah? Malaskah? Tak sedarkah yang mereka hidup menumpang di negara beta, tetapi malas bekerja?!”

16. “Puluhan tahun kita meratah daging bayi lelaki Bani Israel. Kita berkuahkan darah mereka, bergulaikan isi perut mereka sedang ibu bapa mereka bercicahkan air mata memandang zuriat mereka dibunuh. Apa tuanku sudah lupa? Mohon ampun patik pacal yang hina atas sembah derhaka tadi,” pandai dia bermadah helah melepaskan geram sedangkan idea kejam dan bodoh itu datangnya dari dia.

17. “Ya tak ya juga,” Sang Raja pun akhirnya tunduk bingung lalu malu-malu atas kebodohannya sendiri selama ini. “Habis apa pendapat kalian untuk mengatasi masalah yang makin meruncing kini?”

18. “Kita laksanakan sistem penggiliran. Tahun ini mereka jangan dibunuh. Tahun depan kita bunuh. Demikian kita buat sepanjang masa.” saran si Penasihat, “Ini untuk memastikan zuriat mereka tidak terputus demi kesinambungan pembangunan negara. Jangan sesekali pembangunan negara kita lumpuh, kerana kita perlu bersaing dengan negara lain. Ingat! Perjuangan kita belum selesai…” ucapan ringkasnya itu diakhiri tepukan gamat.

19. Sang Raja mengangguk-angguk dan tersenyum. Bijak juga penasihat aku ini, bisiknya di dalam hati. Petah bicaranya mengalahkan ucapan-ucapanku yang lalu. Lalu dia menitahkan: “Dengar sekalian yang hadir. Maka, bermula awal persidangan kita pada tahun ini, jangan ditumpahkan darah anak-anak lelaki Bani Israel. Namun, pada tahun depan, kita mulakan pekerjaan ini seperti biasa,” titah Raja itu mula digazetkan sebagai ‘akta’ baru yang dipinda setelah sekian lama ‘akta’ lama digubal.

20. Demikianlah setakat yang aku maklum mengenai perundangan pertama yang tidak berdaulat. Undang-undang yang diperkenalkan untuk menjamin kekuasaan penguasa. Akhirnya, mereka berada dalam dilema kerana dalam masa yang sama, mereka memerlukan kudrat muda demi mengisi agenda pembangunan.

21. Al-Quran telah jelas merakamkan sifat penguasa yang pernah muncul dalam peradaban lalu. Mereka tidak menghormati darah, kreativiti, bakat, potensi, idea dan pandangan serta suara generasi muda. Kalau dilihatnya ada yang cerdik pandai, lalu dibunuhnya kerana bimbang takhtanya digugat. Namun di akhirnya resah saat menyedari suatu masa mendatang tiadalah generasi yang muncul dengan buah fikiran tersendiri, melainkan muncul hanya si pengampu, pembodek dan penurut jua akhirnya.

22. Aku kepingin sekali mengajak kalian duduk sama rendah berdiri sama tinggi, merenung dan berfikir apakah suatu akta yang telah digubal pada tahun 1971 (sebaik sahaja berlaku bantahan demi bantahan dari Mahasiswa ekoran kelemahan kerajaan yang ketara sehingga tercetusnya tragedi menyayat hati 13 mei 1969 sewaktu Tanah Melayu ini di bawah pemerintahan Tunku Abdul Rahman Putra) dan telah pula dipinda pada tahun 1975 (oleh Menteri Pelajaran sewaktu itu, Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) ekoran daripada rusuhan di Baling pada 1974) itu, jika tidak banyak sedikitpun, punya persamaan dengan riwayat yang telah aku persembahkan buat kalian di awal bicara ini?

23. Jika kiranya kalian kurang tahu akan akta itu, maka cukup rasanya jika kalian terus membaca akan sedikit pendedahan tentangnya.

24. Akta itu mengandungi 27 seksyen memperuntukkan pelbagai fasal berhubung universiti dan kolej universiti. Akta itu juga memperuntukkan pelbagai bidang kuasa termasuk struktur organisasi universiti dan kolej universiti, etika dan disiplin pelajar serta beberapa lagi perkara yang dilihat penting di dalam memastikan perjalanan universiti dan kolej universiti terus licin dan sejajar dengan matlamat penubuhannya.

25. Namun sejak akta ini dikuatkuasakan, kehidupan Mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi dikawal ketat. Pelbagai seksyen di dalam akta itu yang secara langsung mengongkong kebebasan pelajar yang dikecapi mereka sebelum ianya diperkenalkan.

26. Di bawah seksyen 15(1) akta itu jelas menyatakan bahawa tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar universiti boleh menjadi ahli atau dengan apa-apa cara bersekutu dengan, mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua lain pertubuhan, badan atau kumpulan.

27. Sedangkan Akta Belia secara khusus telah memperuntukkan pelajar terlibat secara langsung di dalam pertubuhan berdaftar terutama pertubuhan belia. Maka adakah seksyen 15(1) akta itu tidak bercanggah dengan Akta Belia?

28. Dan kesinambungannya seksyen 15(3), tiada sesiapa jua, semasa menjadi pelajar universiti boleh menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau pertubuhan atau kumpulan haram.

29. Tidakkah mengundi di hari pilihanraya itu adalah tindakan ‘menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik’? Jika ya, maka bukankah mengundi itu hak semua rakyat Tanah Melayu ini lebih-lebih lagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas seperti yang tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan? Dan apakah pelajar-pelajar universiti itu usianya dalam lingkungan 21 tahun ke bawah?

30. Seterusnya seksyen 15D(1), jika seseorang pelajar universiti dipertuduhkan atas suatu jenayah maka ia hendaklah dengan itu serta-merta digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan pembicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus universiti itu atau kampus mana-mana universiti lain.

31. Bahkan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan bahawa setiap warganegara adalah tidak bersalah sehingga dirinya benar-benar dibuktikan bersalah. Adakah seksyen 15D(1) akta itu tidak membelakangi hak kebebasan diri yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kepada semua warganegara?

32. Aku secara peribadi amat bersetuju dengan pandangan Dr. Wan Abdul Rahman Wan Muda dari Universiti Sains Malaysia bahawa perlaksanaan akta itu merupakan parut hitam dalam sejarah kebebasan akademik di Malaysia seperti yang dinyatakannya pada 4 Ogos 1990 di dalam sebuah forum bertajuk ‘Masyarakat Kampus dan Permasalahannya’.

33. Aku juga sependapat dengan Mohd Saifullah Mohd Zulkifli, mantan Naib Presiden (Antarabangsa) Pertubuhan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mendakwa di dalam blognya, terdapat beberapa kesan langsung yang kurang bahkan boleh jadi tidak sihat akibat penguatkuasaan akta itu ke atas pelajar dan gerakan mahasiswa umumnya.

34. Pertamanya, nilai-nilai individualistik dan materialistik semakin merata dan menebal di kalangan pelajar. Rata-rata bertanggapan universiti tidak lebih daripada menara gading buat mendapat segulung ijazah dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik semata-mata. Malah semakin terhakis nilai-nilai untuk memikirkan apa yang berlaku kepada masyarakat luar apatah lagi untuk menilai perkembangan politik semasa yang boleh mempengaruhi masa depan dan nasib bangsa.

35. Walhal saban hari kita disajikan dengan berita-berita politik yang tidak akan pernah tamat seakan-akan kita masih di dalam kempen pilihanraya. Aku percaya ada saja mahasiswa intelek yang punya analisa, pandangan, juga idea bagus dan bernas berkaitan isu-isu itu, namun untuk apa jika suaranya disekat dari dilontarkan. Fenomena inilah yang menjadi kesan seterusnya.

36. Budaya takut mula mencengkam masyarakat pelajar. Masing-masing memikirkan masa depan dan nasib sekiranya mereka melanggar akta itu. Budaya ini akhirnya menyebabkan mahasiswa terus takut untuk mencuba, menyoal, mengkritik dan mengemukakan idea serta gagasan baru ke dalam masyarakat. Tekanan dan prejudis pihak pentadbir kepada pelajar yang agak krikitikal turut merangsang perasaan takut di kalangan mahasiswa.

37. Mana pergi slogan ‘Mahasiswa Jurubicara Masyarakat’?. Mereka sudah tidak peduli (masih ada yang peduli) apa yang berlaku di sekeliling mereka dan hilang upaya untuk melakukan sesuatu, bahkan untuk bersuara pun.

38. Berbalik kepada persoalan yang aku utarakan sebelum ini adakah akta itu punya persamaan dengan ‘akta’ Sang Raja itu? ‘Baginda’ menggubal ‘akta’nya kerana bimbangkan kekuasaannya tergugat dek anak muda Bani Israel. Begitu juga dengan akta itu, digubal dek kerna berlaku bantahan demi bantahan dari Mahasiswa ekoran kelemahan kerajaan yang ketara. Bimbangkan tergugat, kerajaan meneladani Sang Raja bodoh sombong itu. Alangkah sedih.

39. Sekejam-kejam Sang Raja, maka ‘akta’ yang lama dipinda untuk diringankan semula atas nama pembangunan. Namun, adakah akta yang terpundak di atas bahu mahasiswa itu makin ringan atau bertambah beratnya sekalipun telah dua kali dipinda (1975 dan 1983)? Niat lebih kurang sama; iaitu tenaga muda diperlukan atas nama pembangunan. Cumanya dalam era Sang Raja, tenaga muda diikat atas nama ‘perhambaan’. Tapi di zaman pasca moden kini, tenaga intelektual mahasiswa diikat atas nama ‘perhambaan intelektual’.

40. Namun aku tetap merafak syukur. Alhamdulillah, semenjak dua menjak ini, kelihatan sedikit terpancar cahaya harapan dek kegigihan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dan Nurul Izzah yang meneruskan perjuangan yang dirintis bapanya.

41. Dan rakan-rakan sealiranku yang berjuang bersenjatakan tinta, ayuh kita terus berjuang! agar penubuhan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji AUKU 1971 itu tidak seperti melepaskan batuk ditangga saja.

42. Akhirul kalam, aku Anak Melayu sekali lagi mengajak kalian merenung dan berfikir akan hakikat kata-kataku bahawasanya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) telah pun dirakamkan sekian lamanya di dalam kitab junjunganku, kitab Maha Agung himpunan firman Maha Esa, Al-Qur’anul Karim. Dan kini ianya adalah sejarah yang berulang. Renung dan fikirkan. Benarkah kataku? Dan jika benar, apa pula tindakan kalian?!

43. Yang baik dan benar itu datangnya melalui ilham dari Ya Rabbi, dan kiranya ada yang batil dan tidak elok itu, ianya pasti hasil fikiran tidak sempurnaku, juga mungkin bisikan syaitan yang menyesatkan. Justeru, moga kalian dan aku dirahmati dan di ampuni Allah hendaknya. Amin.

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya, mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah pertunjuk oleh Allah, dan mereka itulah yang berakal sempurna.” (Az-Zumar: 18)

No comments: