Sunday, August 3, 2008

Panji Islam

1.Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

2.Panji Islam merupakan sebuah hasil fikiran tidak sempurnaku tercetus susulan sebuah kiriman pesanan ringkas seorang pembaca senaskah akhbar kepada akhbar tersebut yang disiarkan di ruangan 'sms'nya. Sang pengirim menyambut baik cadangan seorang tok guru untuk membubarkan kedua-dua parti besar Melayu Islam tanah air ini lalu bersatu menubuhkan suatu parti baru yang berlandaskan Islam lantas mengusulkan ideanya agar parti yang akan ditubuhkan itu nanti dinamai Pembela Angkatan Negara Jiwa Islam (PANJI).

3.Perkataan PANJI itu amat menarik minatku. Selama aku mendalami ilmu-ilmu ugama, acapkali aku terdedah kepada cerita masa hadapan yang mewar-warkan akan munculnya mungkin (jika tidak silap) ratusan ribu tentera Islam di bawah panji hitam dari ufuk timur.

4.Sabda Baginda Rasul Akhir Zaman: “Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan (timur), maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk.” (Ibnu Majah, Abu Nuaim & al-Hakim)

5.Setahu aku Khalifah Allah yang mendapat petunuk itu adalah Imam Besar al-Mahdi. Kerana pengetahuan cetekku tentang ilmu bahasa arab menjelaskan bahawa Imam itu membawa makna pemimpin, dan Mahdi pula adalah orang yang mendapat petunjuk.

6.Namun hairan sekali aku tatkala mendengar khabar sahih tentang kewujudan sebuah angkatan di tanah air ini yang katanya bertapak di sebuah gelanggang silat di sebuah daerah di utara semenanjung ini yang digelar Panji Hitam Ufuk Timur.

7.Apa sudah munculkah lagi seorang makhluk Allah yang bernama Muhammad bin Abdullah itu?

8.Apa sudah dibaiat laki-laki itu antara maqam Ibrahim dengan sudut Kaabah?

9.Tidak sekali-kali aku berprejudis akan mereka itu yang keseluruhannya mungkin Melayu Islam sepertiku. Mungkin suci niat mereka ingin berjuang demi Islam, Melayu dan Tanah Melayu seperti juga diriku. Cuma semata-mata yang aku persoalkan, wajarkah mereka mengaitkan diri mereka dengan sabda insan ulung tiada ganti itu?

10.Wajarkah dipampangkan hadis itu di setiap laman yang berkaitan mereka? Tidak aku persoalkan penggunaan bendera atau panji hitam tertera kalimah syahadah itu sebagai lambang identiti mereka. Mereka berhak mengagungkan kalimah suci itu kerana mereka mengimaninya (harapnya), namun berhakkah mereka mengatakan bahawa mereka-mereka itulah golongan yang disebut-sebut di dalam sabda?

11.Apa benar mereka tentera Islam yang berimamkan Mahdi? Apakah sungguh mereka-mereka itu askar-askar Allah yang setekad jiwa dan raga berjihad demi Allah sedangkan (segelintir) berlubang di kiri-kanan cuping telinga, berkarat di rambut asal?

12.Bukanlah aku insan mulia. Tapi akal logik umat Islam manakah yang akan mengiyakan mereka-mereka itu pejuang Islam sebaik melihat penampilan yang amatlah menyimpang dari syari'at? Luarannya sudah menyimpang, bagaimana pula hatinya?

13.Bukankah beriman itu memperakui dengan lafaz (lisan), menzahirkannya dengan amalan (perlakuan) lantas meyakininya dengan hati? Ya benar mereka melafazkannya. mungkin juga benar lafaz itu seiring hati, tapi adakah zahirnya begitu, juga seiring sejalan seia dan sekata? Andai salah satu dari tiga ini pincang, maka lengkapkah iman mereka? Dan adakah askar-askar Allah yang terpilih itu sifatnya tidak sempurna imannya?

14.Fikir-fikirkanlah duhai mereka yang memakan cili. Berbalik kembali akan soal Panji Islam yang aku utarakan seawal kata. Panji Islam adalah niatku, hasratku.

15.Panji Islam membawa erti Pejuang Negara Jiwa Islam.

16.Pejuang Negara Jiwa Islam adalah mereke-mereka yang hidup berteraskan rukun Islam dan berkeyakinankan rukun Iman yang berjihad fi sabilillah demi membangunkan tempat mereka berlindung (negara) kurniaan Ilahi dan menjiwakannya dengan nilai-nilai ajaran Islam panduan hidup anjuran Ya Rabb, dan mereka inilah jua pembela negara yang berjiwa Islam itu, juga jiwa-jiwa Islam itu yakni penganut-penganut Islam, dan terpentingnya Islam itu sendiri.

17.Seringkali kita mendengar mengenai negara bangsa. Setuju benar jika dikata Tanah Melayu itu negara bangsa Melayu. Tapi di mana dia Tanah Melayu?

18.Yang ujud kini adalah Malaysia. Mereka-mereka yang seangkatan dengan Farish Noor dan juga Che Det menginginkan Negara Bangsa Malaysia yang mana bangsa-bangsa Melayu, Cina dan India juga lain-lain akan disatukan sebagai Bangsa Malaysia.

19.Di dalam draf wawasan2020 ada membincangkan akan hal ini di bawah tajuk perspektif yang mana 'Negara Bangsa Malaysia' menjadi isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju.

20.Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.

21.Tidaklah aku ingin menentang, cuma berhak rasanya aku mengutarakan ideaku jua. Lebih cenderung fikiranku ini menjurus kepada pembentukan Negara Jiwa bukan Negara Bangsa. Bukan Negara Bangsa Malaysia. Ianya Negara Jiwa Islam.

22.Mengapa harus Negara Jiwa Islam dan bukan Negara Islam?

23.Apa ada pada nama? Lihat saja keliling kalian. Ramai benar anak Melayu terhenjut-henjut berlenggang-lenggok meliuk-lentuk kemabukan di pusat-pusat hiburan lewat malam. Apa anak-anak Melayu itu sudah murtad? Tidak. Agama mereka masih Islam. Islam mereka hanya pada nama. Tapi jiwanya?

24.Bangga apa dengan gelaran Negara Islam? Bangga apa dengan 'pengiktirafan' itu? Berkali-kali sudah rasanya pemimpin-pemimpin kanan negara menyatakannya biarpun tidak pernah terpinda apa yang tersurat di dalam undang tubuh tanah air ini.

25.Yang kuusulkan bukan 'nama'. Tapi 'jiwa'. Lebih elok kiranya namanya tidak Islam tapi jiwanya Islam, berbanding kafir jiwanya sedangkan Islam namanya. Kerana (jika tidak silap) ada sabda mengatakan "Lebih baik berilmu tanpa amal dari beramal tanpa ilmu.".  Fikir-fikirkanlah.

26.Setakat ini sajalah dahulu pendedahan awalku akan ideaku ini. Akan menyusul kelak Deklarasi Panji Islam yang pastinya akan mengemukakan lebih terperinci tentang dasar perjuangan Panji Islam juga tentang apakah itu Negara Jiwa Islam.

27.Yang baik dan benar itu datangnya melalui ilham dari Ya Rabbi, dan kiranya ada yang batil dan tidak elok itu, ianya pasti hasil fikiran tidak sempurnaku, juga mungkin bisikan syaitan yang menyesatkan. Justeru, moga kalian dan aku dirahmati dan di ampuni Allah hendaknya. Amin.

1 comment:

Anonymous said...

syabas saudara seseungguhnya marilah kita berkasih sayang.dengan firman alah ayat 1 surah al-fatihah dengan nama allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.sesungguhnya apa yang saudara lakukan adalah benar dan apa yang mereka lakukan adalah benar tapi yang lebih baik benar adalah mengibarkan panji panji allah. demi kesejahteraan sekalian alam.dan kampung akhirat.