Saturday, June 21, 2008

Solat Berjemaah: Tiang Ketuanan Melayu


1. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

2. "...Kamu kira mereka itu bersatu sedang hati mereka berpecah-belah...." (al-Hasyr: 14).

3. Demikianlah yang telah Tuhan (tuan) kita nyatakan menerusi firmanNya semenjak berkurun abad yang lalu. Demikian jugalah yang terjadi kini. Di sana sini kedengaran slogan ‘Ketuanan Melayu’ disorak dilaung pekik sesuai dengan sikap dan sifat kita yang memang kaya dengan slogan. Lihat saja kewujudan slogan ‘Islam Hadhari’ yang dicipta sang perdana, di laungkan sang pengampu, dicabar pula sang timbalan dengan slogannya ‘Melayu Glokal’.

4. Apa ada pada slogan semata? Kuat ditempik laung di sana sini di seluruh pelosok di setiap inci tanah kita ini. Janganlah hendaknya sorakan emosi itu ibarat tin kosong diketuk-ketuk.

5. Sedikit masa yang baru saja berlepas lalu, sejumlah agak besar anak Melayu dihimpunkan di Kuala Lumpur di bawah payung Perhimpunan Perpaduan Melayu. Perkara sama berlaku juga di Johor Bahru, cuma payungnya saja sedikit lain namanya, Kongres Permuafakatan Melayu.

6. Yang jelas, ianya berkaitan Melayu, suatu bangsa yang seharusnya, atau pada dasar logik akal dan teorinya menjadi tuan di Tanah Melayu ini. Perhimpunan mahupun Kongres, baik Perpaduan atau Permuafakatan, natijahnya sama. Niatnya membincangkan kedudukan Melayu yang semakin terhakis.

7. Maka berhimpunlah pahlawan-pahlawan, panglima-panglima, juga pendekar-pendekar jagoan rantau Melayu demi menegakkan ketuanan bangsa mereka. Berpegangkan kata-kata keramat Hang pertama di antara Hang berlima, “Takkan Melayu hilang di dunia!”, maka seangkatan ini yang baru saja terjaga dari buaian mimpi indah, berkobar-kobar semangatnya hendak berjuang melindungi bangsa, seakan esok Melayu kan pupus.

8. Harusnya mereka membuka lipatan lembaran sejarah, mengimbau kenangan jadikan panduan. Hang pertama itu hanya yang ‘pertama’. Pertama bukan utama. Ingatlah kita hendaknya tika Hang pertama difitnah, lalu Sang Raja Peruntuh Melaka menitahkan hukuman bunuh ke atasnya, lantas siapa yang bangkit? Siapa dia penentang fitnah itu? Siapa dia penyanggah kezaliman itu? Siapa dia pembela Melayu? Siapa dia pencinta ikatan persahabatan, persaudaraan, perpaduan, permuafakatan Melayu? Maka sanya, siapa dia pendekar Melayu sejati? Siapa dia Hang utama?

9. Jika benar mereka-mereka yang berhimpun itu pendekar-pendekar Melayu sejati yang utama, maka hendaknya mereka itu berani. Berani menyanggah kezaliman! Kerana Raja adil disembah, Raja Zalim disanggah!

10. Apa perkaitannya Raja Zalim dan Ketuanan Melayu? Nabi Ulung Akhir Zaman ada bersabda: “Imam itu untuk diikuti”. Baginda lah imam dizamannya. Bagindalah Raja di eranya. Di bawah kepimpinannya, sedari dihina caci dan cerca, Islam bangkit menjadi suatu agama yang agung. Betapa harus kita telitikan, berkat kepimpinan Baginda yang unggul, maka Keagungan Islam tercapai. Dan tidak mustahil, berkat kepimpinan hari ini (jika diberkati Allah), Ketuanan Melayu takkan lagi terhakis dan akan terus terjamin selagi mana Raja dunia dan akhirat menginginkannya.
11. Menyentuh tentang kepimpinan, suka aku mengajak kalian kembali ke fitrah kita, Islam. Bukankah tiang Islam itu adalah Solat? Ini bererti tidak tertegaklah atau terbangunlah Islam tanpa Solat. Dalam membicarakan Ketuanan Melayu yang menyentuh tentang Melayu yang pastinya ramai, maka lebih afdal kiranya kita melihatnya dari perspektif solat berjemaah (beramai-ramai). Kerana hendak aku membuatkan kalian mengerti akan maksudku yang cuba ingin membina perkaitan antara solat berjemaah itu dengan ketuanan Melayu.

12. Di dalam solat berjemaah itu sendiri, jika kalian teliti dan amati maka akan didapati tujuh prinsip tersirat buat renungan dan panduan. Bermula dari Iqamat hinggalah Salam, indah sungguh Solat itu baik tersurat mahupun tersirat. Akan ku perincikan setiap satu dari tujuh kesemuanya, agar terbuka fikiran kalian justeru nilailah benar bohong kataku.

13. Prinsip Iqamat merupakan suatu simbolik bahawa mereka yang telah berkumpul untuk niat (solat berjemaah) yang sama, harus segera mengumandangkan iqamat. Dengan panggilan iqamat tersebut, terputuslah segala urusan dengan dunia luar, tidak ada lagi yang melakukan pekerjaan lain, kecuali dengan penuh tanggungjawab memenuhi seruan iqamat untuk segera melaksanakan solat berjemaah. Iqamat adalah lambang yang menyeru persiapan untuk menuju pada satu arah kiblat yang sama, iaitu Ka'bah Baitullah. Ruku’ yang sama, iktidal yang sama, bahkan ucapan serta niat yang sama.

14. Dengan niat yang sama ini, mereka segera menunjuk imam solat. Seakan-akan, hal itu merupakan suatu simbol agar kaum mukmin segera menunjuk siapa pemimpinnya, yang secara akrab, telus dapat menuntun hidup dan kehidupannya yang baik dalam alunan suara takbir yang indah.

15. Kewajipan untuk meluruskan saf adalah suatu prinsip yang menunjukkan satu simbol pengurusan serta pengelolaan jemaah yang berpadu dan bagaikan benteng yang kukuh seperti yang disebutkan dalam surat ash-Shaff: 4 - bahu bersentuhan dengan bahu yang lain, barisannya lurus, sehingga tidak satu pun ada ruang yang kosong yang memberi peluang kepada syaitan untuk merosak dan menggoda kekhusyukan solat berjemaah.

16. Seperti sabda Nabi yang telah kusebutkan tadi, "Imam itu untuk diikuti", sehingga kita pun faham bahawa yang dimaksudkan dengan "diikuti", tentunya berada di belakang, dan bergerak sesuai dengan arahan sang imam. Kepatuhan inilah yang menyebabkan sempurnanya jemaah. Dilarangnya makmum mendahului imam baik dalam gerakan mahupun bacaan, adalah suatu lambang bahawa para makmum tidak diperkenankan untuk mengambil tindakan di luar apa yang ditetapkan oleh pemimpinnya. Kerana dalam prinsip berjemaah ini, seluruh tertib gerak harus di bawah satu kepemimpinan. Tindakan lain hanya akan membatalkan makna dan kesempurnaan solat itu sendiri.

17. Di dalam hubungan makmum dan imam ini, terlihat pula ‘prinsip demokrasi’ yang dilambangkan melalui suatu norma bahwa apabila imam berbuat salah, baik dalam ruku’ mahupun bacaannya, maka makmum dapat menegurnya dengan mengucapkan subhanallah atau meluruskan bacaannya yang benar.

18. Demikian pula, apabila secara nyata imam telah batal maka imam tersebut harus secara segera mundur (untuk berwudhu semula) dan segera diganti oleh makmum di belakangnya untuk meneruskan solat berjemaah.


19. Selama gerakan solat berjemaah belum selesai, dan ada orang yang tertinggal atau baru memasuki ruang masjid, maka orang yang baru datang tersebut (makmum masbuk), wajib bergabung dan masuk diantara saf yang ada, kemudian dengan khusyuk mengikuti seluruh gerakan imamnya. Prinsip ini seakan memberikan suatu simbolik bahwa seorang muslim tidak diperbolehkan untuk membuat gerakan sendiri, padahal sudah ada saf yang bergerak terlebih dahulu.

20. Harapnya jelas buat kalian akan maksud yang ingin kusampaikan. Betapa Ya Rabbi telah menyeru kita hamba-hambanya menunaikan Solat sekian lamanya, rupanya disebalik itu tersimpan suatu resipi kejayaan kepimpianan ulung dahulu kala, tersimpan rahsia kekuatan kesatuan yang pastinya boleh kita praktikkan demi menjamin ketuanan.

21. Bahkan hitungan pahala solat berjemaah itu sendiri adalah dijanjikanNya 27 kali ganda solat berseorangan. Betapa Allah sangat menyukai berjemaah. Berjemaah bagiku, bersatu. Bersatu bukanlah pada wujudnya (berjumpa sejumlah manusia) sahaja, tetapi yang lebih penting lagi adalah ikatan emosional dan keterikatan jiwa di antara sesama manusia itu. Kerana kesatuan ini akan menuntun kita ke arah tertegak kukuhnya ketuanan. Bagaimana suatu bangsa yang tidak bersatu akan menjadi tuan di tanahnya sendiri? Bagaimana jadinya tatkala tuan berbalahan sesama tuan? Tidakkah tetamu atau penumpang itu yang kan untung kiranya mereka oportunis?

22. Dan kalian pendekar-pendekar Melayu sejati yang utama (harapnya), duduk bicara apa lagi kalian? Ada benar tindakan kalian sesuai dengan prinsip pertama solat berjemaah yang kusebut tadi. Sudah bersatu kalian dengan niat yang sama. Namun kenapa berhenti setakat itu? Teruskanlah dengan prinsip-prinsip seterusnya.

23. Bangkitlah! Pilihlah pemimpin yang benar-benar mampu membela kita. Jikalau telah tersalah pilih tersilap tunjuk, masih ada kesempatan memperbetulkan, kerna kiamat bukan esok.

24. Sebelum itu hendaklah kita memperkukuhkan dulu barisan kita agar tiada ruang-ruang kosong yang bisa dimanipulasi anasir-anasir yang meruntuhkan. Menjadilah kita benteng yang terkuat untuk mempertahankan niat, pendirian dan perjuangan kita.

25. Andai pemimpin yang telah dipilih itu benar dan tidak kita sesali mahupun ragui, maka janganlah hendaknya kita mengingkar kepimpinannya. Andai dia mampu men’tuan’kan kita di tanah kita, maka apa salahnya kita mengikut kepimpinannya agar sempurna perpaduan ini.

26. Namun usah takut, usah gentar. Kiranya mereka itu pemimpin salah, maka kitalah pembetulnya. Maka tegurlah kalian dengan suara-suara anak Melayu yang lantang lagi berani. Kiranya tiada terkesan oleh mereka, bertindaklah pula dengan tindakan-tindakan beradab sopan yang kiranya sesuai. Andai terlalu degil kesan kotoran itu, cukuplah jika kita lemah, tegur saja dalam hati ‘suci’ kita ini.

27. Lihat pula prinsip keenam: ‘…apabila secara nyata imam telah batal, maka imam tersebut harus secara segera mundur (untuk berwudhu semula) dan segera diganti oleh makmum di belakangnya untuk meneruskan solat berjemaah. Apa yang kalian faham? Apa pula yang membatalkan imam? Padaku mudah, pemimpin dipilih untuk memimpin kearah yang baik. Andai saja melencong arahnya walau sedikit, tegur (sesuai dengan prinsip kelima). Andai tegur tidak berkesan dan arah makin jauh tersasar, maka jelas lagi nyata, terbatallah kuasa pemimpin itu. Kiranya angkuh pemimpin tidak mahu berundur, dan kita hanya menurut, maka apa ganjarannya melainkan sifar pahala?

28. Lantas, kerahkan tenaga, pusatkan kuasa, turunkan dia, naikkan pengganti! Bukannya apa, hanya berinya ruang dan peluang berwudhu semula. Dan andai telah dia ‘suci’ semula, maka sesuai dengan keadaannya yang ‘masbuk’, wajib bergabung dan masuk diantara saf yang ada, kemudian dengan khusyuk mengikuti seluruh gerakan pemimpinnya. Jangan pula masih diingat dialah pemimpin, sedang sudah ada penggantinya. Ingatlah sesungguhnya di atas muka dunia ini tiada sesuatu apa pun yang bersifat kekal abadi.

29. Maka kuseru kalian semua duhai Anak Melayu, bersatulah kita di bawah satu kepimpinan unggul, kuat lagi kukuh, adil juga bijaksana, demi terus menjamin tanah ini milik kita! Tanah ini Tanah Melayu! Pergi kau kezaliman! Pergi kau pencerobohan! Ini tanah aku! Tanah aku Anak Melayu!

30. Wahai kalian tuan-tuan Tanah Melayu, sudah-sudahlah membiarkan diri kita terus tertindas, dijajah dan diperhambakan. Ketepikan dulu anasir luar dari bangsa penumpang jua tetamu. Perhatikan dulu, imbaukan dulu, hayatikan dulu segala kekejaman, kezaliman dari pemimpin bangsa kita sendiri yang sememangnya telah lama kita angkat menjadi tuan. Tidakkah bodoh kita mengangkat tuan yang zalim menjadi tuan kepada kita tuan-tuan yang cintakan keamanan, kedamaian, jua keadilan di tanah sendiri?

31. Tuan-tuan Tanah Melayu, ini juga tanah kita. Ini bukan tanah mereka semata-mata. Ya, mereka tuan, sesuai dengan gelaran, pangkat dan mandat pemberian kita. Tapi harus jangan dilupa kita Khalifah, firman Ya Rabbul Izzati. Maka gentar apa kita dengan tuan-tuan yang tersilap kita tuankan? Kita juga tuan. Kita yang mengangkat mereka, maka kita juga berkuasa menurunkan mereka. Ayuh tuan-tuan yang adil, kita bangkit dari pijakan mereka, kita tentang mereka tuan-tuan yang zalim!

32. Ini tanah kita! Harus kita merasa sama keselamatannya! Harus kita merasa sama keamanannya! Harus kita merasa sama kemakmurannya! Barulah Tuan namanya! Ayuh kalian Anak Melayu! Ingat kalian, Raja Adil raja disembah! Raja Zalim raja disanggah!

33. Hayatilah tulisanku ini. Renungkan, fikirkan, ambil tindakan. Sesungguhnya yang hak dan baik itu datangnya melalui ilham dari Ya Rabbi, dan kiranya ada yang batil dan tidak elok itu, ianya pasti hasil fikiran tidak sempurnaku, juga mungkin bisikan syaitan yang menyesatkan. Justeru, moga kalian dan aku dirahmati dan di ampuni Allah hendaknya. Amin.

1 comment:

Anonymous said...

aku amat bersetuju dgn penulisan kamu...
cara yang sopan tetapi penuh isi...
mcm tak percaya kamu yg tulis...
tak sabar nak tgu blog baru kamu...