Menyedari hakikat bahawa di kalangan manusia wujud golongan munafiq sepertimana firman Allah yang membawa maksud: "Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman, mereka berkata, 'Kami beriman', dan tatkala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka (pemimpin-pemimpin mereka yang munafiq dan kafir), mereka berkata pula, 'Sesungguhnya kami tetap bersama kamu. Kami sebenarnya hanya berolok-olok (akan orang-orang yang beriman dengan berpura-pura beriman)."
Dan berpegangkan kalam Allah bahawasanya "Dalam hati mereka (golongan yang munafiq itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki)..." ; Dan menginsafi bahawa ikatan persahabatan ini pasti akan terancam kepada perpecahan dan perbalahan kerana bersahabat dengan mereka, sepertimana Allah menyedarkan kami bahawa "Ketahuilah! Sesungguhnya mereka itulah orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya." ; Maka kami bertekad untuk melancarkan gerakan reformasi dalam ikatan persahabatan kami:
Gerakan reformasi yang terpancar dari hati, dari kesedaran bahawa sesungguhnya ikatan persahabatan itu adalah sebuah ikatan suci yang seharusnya kekal ke hujung nyawa;
Gerakan reformasi untuk melindungi ikatan persahabatan kami dari anasir-anasir yang boleh melemahkan, merosakkan, memecahbelahkan, meruntuhkan dan memutuskannya, dengan berpegang teguh kepada tali ikatan persahabatan kami;
Gerakan reformasi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua sahabat-sahabat, yang lama dan yang baru; memperjelasi dan menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang tercetus oleh sikap kepura-puraan dan saling menghasuti;
Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan lagi ikatan persahabatan melalui proses luahan dari hati ke hati dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Kejujuran dan keikhlasan itu satu kemestian, kerana pahitnya kebenaran adalah lebih baik dari manisnya pembohongan, tetapi kecenderungan sahabat-sahabat untuk menjaga hati masing-masing menjadikan kejujuran dan keikhlasan satu kewajipan;
Gerakan reformasi untuk memperjuangkan semangat persahabatan, menjadikan musuh salah seorang di antara kami musuh kami semua dan sahabat salah seorang di antara kami sahabat kami semua;
Gerakan reformasi untuk menghalang dan menentang sebarang bentuk virus-virus kerosakan yang memudaratkan ikatan persahabatan ini dengan tidak terlalu mudah mempercayai kata-kata, khabar angin dan fitnah dari yang selain kami; malah mempertahankan sahabat-sahabat dari diaibkan dan diserang;
Gerakan reformasi untuk membela sahabat-sahabat yang teraniaya dan tertindas oleh wasangka buruk yang berlebihan, mengangkat dan membangunkan yang jatuh ditolak oleh hasad dan dengki, dengan sokongan rohani dan dukungan jasmani dari sesama kami;
Gerakan reformasi untuk membawa ikatan persahabatan ini ke satu tahap yang lebih baik dari hari ini dan menguntungkan semua, menjamin kebajikan sesama kami di hari muka, baik dari segi ekonomi mahupun sosial dengan sepenuh tanggungjawab memainkan peranan berdasarkan kebolehan dan kelebihan masing-masing.
Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut prinsip diri manusia haram dizalimi dan diaibkan dan bernafaskan semangat persahabatan.
Masanya telah tiba. Bersatulah sahabat-sahabat untuk reformasi!
Shah Alam
27 Ogos 2008

1 comment:
REFORMASI!!
Post a Comment