Friday, October 23, 2009

Panji Hitam Ufuk Timur

1.Selama aku mendalami ilmu-ilmu ugama, acapkali aku terdedah kepada cerita masa hadapan yang mewar-warkan akan munculnya (jika tidak silap) ratusan ribu tentera Islam di bawah panji hitam dari ufuk timur.

2.Sabda Baginda Rasul Akhir Zaman: “Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan (timur), maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk.” (Ibnu Majah, Abu Nuaim & al-Hakim)

3.Setahu aku Khalifah Allah yang mendapat petunjuk itu adalah Imam Besar al-Mahdi. Kerana pengetahuan cetekku tentang ilmu bahasa arab menjelaskan bahawa Imam itu membawa makna pemimpin, dan Mahdi pula adalah orang yang mendapat petunjuk.

4.Namun hairan sekali aku tatkala mendengar khabar sahih tentang kewujudan sebuah angkatan di tanah air ini yang katanya bertapak di sebuah gelanggang silat di sebuah daerah di utara semenanjung ini yang digelar Panji Hitam Ufuk Timur.


5.Apa sudah munculkah lagi seorang makhluk Allah yang bernama Muhammad bin Abdullah itu?

6.Apa sudah dibaiah laki-laki itu antara maqam Ibrahim dengan sudut Kaabah?

7.Tidak sekali-kali aku berprejudis akan mereka itu yang keseluruhannya mungkin Melayu Islam sepertiku. Mungkin suci niat mereka ingin berjuang demi Islam, Melayu dan Tanah Melayu seperti juga diriku. Cuma semata-mata yang aku persoalkan, wajarkah mereka mengaitkan diri mereka dengan sabda insan ulung tiada ganti itu?

8.Wajarkah dipampangkan hadis itu di setiap laman yang berkaitan mereka? Tidak aku persoalkan penggunaan bendera atau panji hitam tertera kalimah syahadah itu sebagai lambang identiti mereka. Mereka berhak mengagungkan kalimah suci itu kerana mereka mengimaninya (harapnya), namun berhakkah mereka mengatakan bahawa mereka-mereka itulah golongan yang disebut-sebut di dalam sabda?

9.Apa benar mereka tentera Islam yang berimamkan Mahdi? Apakah sungguh mereka-mereka itu askar-askar Allah yang setekad jiwa dan raga berjihad demi Allah sedangkan (segelintir) berlubang di kiri-kanan cuping telinga, berkarat di rambut asal?

10.Bukanlah aku insan mulia. Tapi akal logik umat Islam manakah yang akan mengiyakan mereka-mereka itu pejuang Islam sebaik melihat penampilan yang amatlah menyimpang dari syari'at? Luarannya sudah menyimpang, bagaimana pula hatinya?

11.Bukankah beriman itu memperakui dengan lafaz (lisan), menzahirkannya dengan amalan (perlakuan) lantas meyakininya dengan hati? Ya benar mereka melafazkannya. mungkin juga benar lafaz itu seiring hati, tapi adakah zahirnya begitu, juga seiring sejalan seia dan sekata? Andai salah satu dari tiga ini pincang, maka lengkapkah iman mereka? Dan adakah askar-askar Allah yang terpilih itu sifatnya tidak sempurna imannya?

12.Fikir-fikirkanlah duhai mereka yang termakan cili.

No comments: