Friday, October 23, 2009

Seruan Ke Arah Menjalin Hubungan Diplomatik

Kami Anak Melayu mengajak seluruh Muslim Melayu untuk menjalin hubungan harmoni antara satu sama lain selain dengan Syaitan.

Kita perlu untuk membentuk hubungan erat antara seorang hakim dengan yang dihukum, pemimpin dengan yang dipimpin, guru dengan pelajar, bapa dengan anak, dan suami dengan isteri.

Kita perlu membina jalinan persaudaraan yang kental sehingga dapat menemukan kefahaman yang erat antara kita, kerana di tengah-tengah kita sekarang ini telah terjadi perbezaan pandangan, parti, kelompok dan status yang mana kita telah lupa akan ajaran ketuhanan yang bersifat universal sebagai ajaran keimanan.

Pemimpin telah membuat rakyat merasa mual, terancam, marah dan benci sehingga mereka tidak lagi taat setia, menyebar fitnah dan pergaduhan. Rakyat pula memandang pemimpin sebagai golongan zalim yang menyekat kebebasan dan membatasi hak-hak yang semestinya dimiliki oleh setiap individu.

Setiap orang Melayu yang beragama Islam pula terdiri daripada beberapa kumpulan di mana setiap satu kumpulan sentiasa sibuk mencari keburukan-keburukan antara satu sama lain.

Cerdik pandai pula masih lagi bergaduh sesama sendiri. Ada di antara mereka yang berwawasan Islam, liberal, sekular, modenis, manakala masyarakat awam pula sibuk memuji puak mereka, menceritakan kedudukan dan kelebihannya seakan-akan puaknya tidak pernah melakukan kesalahan walau sedikit pun.

Sesetengah lelaki memandang perempuan telah merampas hak-haknya dan berbuat zalim kepada kaum lelaki. Sementara kaum perempuan pula berteriak kerana dizalimi kaum lelaki. Kaum lelaki kononnya telah menindas, berbuat kasar dan tidak bertanggungjawab.

Guru memandang muridnya tidak bermoral dan tidak ada tumpuan dalam pelajaran, sedangkan murid pula melihat gurunya berperilaku buruk, mementingkan kebendaan, dan tidak amanah.

Dengan cara yang demikian masyarakat saling berperang dan bermusuhan sesama sendiri. Pihak yang dizalimi kadang kala pihak yang berkuasa dan ada kalanya masyarakat awam. Jika propaganda yang dilakukan tidak menjadi, maka pihak lawan akan didoakan dengan kebinasaan. Jika itu tidak berkesan, maka pihak lawan diancam dengan neraka dan tempat yang paling buruk di akhirat kelak.

Marilah sekarang kita membina satu jalinan yang indah di bawah satu panji - Melayu Islam. Marilah kita saling bertolak ansur, berjabat tangan, saling memberi nasihat dan saling memaafkan antara satu sama lain.

Hentikanlah kenyataan-kenyataan jahat dan ancaman. Tutuplah sikap saling menghakimi samada menerusi tulisan mahupun laman blog, tutuplah mulut lebar yang sering mencerca orang lain di media massa dan belajarlah akhlak mulia.

Tinggalkanlah perbuatan memfitnah, memandang rendah orang lain dan mencela, kerana perbuatan ini teramat jahat, keji dan bodoh.

Kita menghendaki para cerdik pandai dan ulama' memperdengar ungakapan yang baik, indah, berfaedah, manis dan mulia.

Kita perlukan tenaga sosial dan perdamaian yang dimulakan dari pemimpin hingga ke rakyat biasa. Kita kerap bersikap kasar ketika berinteraksi dengan masyarakat terutamanya dengan seseorang yang berlainan fahaman dengan kita.

Seorang ilmuan apabila ingin menyanggah ilmuan lain yang berhujah dengannya, terlebih dahulu dia menghinanya, mendedahkan keburukannya bahkan memusuhinya, sehingga tidak asing lagi apabila kita mendengar kata-kata 'kafir', 'fasik', dan 'sesat' keluar dari mulutnya.

Ada lagi sesetengah pemikir yang menggunakan kata hinaan dan cacian terhadap sesiapa yang berlainan pendapat dengannya. Mereka menuduh lawan sebagai kolot, jumud, pengganas dan fanatik.

Ada lagi sesetengah pihak yang telah menempah tempat duduk di dalam syurga dan menutup pintu syurga yang lain bagi orang lain yang juga menginginkan syurga.

Setelah kita dijadikan sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, kita menjadi saling bermusuhan, saling mencaci, dan berperang di antara satu sama lain.

Muslim Melayu membunuh orang Muslim Melayu sendiri, Muslim Melayu menyembelih Muslim Melayu, dan Muslim Melayu membakar Muslim Melayu. Seseorang yang selamat dari dibunuh belum tentu selamat dari dihina, dikhianati dan difitnah.

Kita amat perlu membina persaudaraan, menjalin hubungan harmoni dan menghilangkan sebab-sebab permusuhan sekaligus memotong akar kejahatan dan membasni kebencian.

Sebelum kamu menghina kami maka berdialoglah terlebih dahulu. Sebelum kamu menghakimi kami maka dengarlah dahulu kata kami. Sebelum kamu mendedahkan keburukan kami maka nasihatilah kami dan sebelum kamu memusuhi kami maka berilah kesempatan kepada kami supaya kami dapat mempertahan diri.

No comments: