1.Sebahagian para hukama mengatakan ‘Seseorang raja mestilah mengelak daripada wujudnya seseorang dalam kalangan rakyatnya yang lebih baik pegangan agamanya dan lebih ditaati perintahnya. Bagaimana mungkin raja mengharapkan kestabilan pemerintahannya serta kedamaian negaranya sedangkan agama diabaikannya?’
2.Siapakah di kalangan kita boleh dengan hujah yang kukuh mengatakan Raja Indera Kayangan itu lebih baik pegangan agamanya berbanding Haron Din? Siapa pula yang boleh mengemukakan dalil bahawa Sultan Darul Naim itu lebih baik pegangannya dan lebih ditaati perintahnya berbanding Nik Aziz?
3.Bukanlah niatku hendak merendahkan kedudukan Sultan yang jelas memiliki istana yang gah berbanding pondok burukku. Cuma kuingin agar seseorang raja mahupun sultan sesuai dengan gelarannya selaku ketua agama, berfungsi sepatutnya.
4.Satu contoh mudah kuketengahkan, alihkan perhatian kita sebentar pada permaisuri mahupun sultanah. Sesetengah mereka manis bertutup aurat, sesetengahnya pula bertudung sekerat kepala berjambul, dan sesetengah yang lain langsung tidak bahkan hanya dihiasi mahkota diraja. Apakah tafsiran yang mampu kita berikan pada senario sebegini?
5.Isteri kepada seorang ketua agama sendiri tidak menjalankan perintah agamanya. Bukankah ini penderhakaan kepada Tuhan. Adakah suaminya tidak mampu untuk berdakwah kepada isterinya yang seorang ini? Justeru bagaimana mungkin suami yang juga raja ini menjadi ketua agama kepada rakyatnya? Dan adakah si suami rela untuk turut bersubahat dengan isterinya untuk sama-sama menderhakai perintah Tuhan? Tepuk dada tanyalah selera.
6.Sesungguhnya raja ialah wakil Tuhan untuk hamba dan bumi-Nya. Urusan perwakilan ini tidak akan stabil bersama penderhakaan kepada Tuhan. Percayalah, mereka yang berbahagia dalam kalangan raja-raja ialah mereka yang memelihara agama dengan kekuasaannya dan bukan memelihara kekuasaan dengan agamanya.
7.Aku bukanlah seorang rakyat raja yang tidak setia dan hamba Tuhan yang baik pegangan agamanya, namun hati dan akal ini tertarik untuk mengajak semua rakyat merenung jauh dan berfikir, adakah raja kita benar-benar seorang raja?
-

No comments:
Post a Comment