Friday, October 23, 2009

Teguran Terbuka Kepada Saudara Zahid Hamidi

2 Ogos 2009

"Berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu memberi ancaman dan mudahkanlah dan janganlah kamu menyusahkan."

Assalamualaikum wbt Saudara Zahid Hamidi dan sesiapa jua yang membaca.

Mungkin kehadiran teguran ini telah agak lambat dari yang sepatutnya (berikutan ucapan Saudara Zahid Hamidi yang bernada kasar dan keras, berbaur ancaman kepada yang bukan Islam pada Perhimpunan Agung Umno yang lepas). Namun kami Anak Melayu merasakan keperluan untuk kami tetap menegur apa yang kami klasifikasikan sebagai 'salah' ataupun 'pincang' tambahan pula dilakukan oleh seorang pemimpin Islam di negara ini.

Pembuka bicara di atas adalah petikan sebuah sabda Rasulullah yang sangat jelas perkataannya. Bahawa kita di dalam menyebarkan risalah Islam haruslah tanpa sebarang ancaman dengan kekerasan dan kata-kata kasar.

Sesungguhnya kita yang beragama Islam, yang bertanggungjawab menyebarkan risalah Islam, sebenarnya merupakan utusan-utusan yang membawa kedamaian dan kasih sayang. Namun apabila salah seorang daripada kita mengabaikan kaedah anjuran Rasulullah ini, maka dia menjadi seseorang yang menjadi ancaman kepada kehidupan dengan cara memperkenalkan kekerasan, kekejaman dan menjadikan mereka (baik muslim mahupun bukan) putus asa daripada mendapatkan limpahan rahmat Allah.

Justeru kami Anak Melayu mengingatkan Saudara Zahid, diri kami dan seluruh saudara seagama, untuk tidak menjadi ancaman kepada orang lain ketika menyampaikan ceramah, khutbah, ucapan, pidato mahupun kenyataan-kenyataan terbuka sehingga seolah-olah kasih sayang dan azab hanya wujud dalam genggaman kita.

Ingatlah! Bahawa agama Islam yang kita yakini ini tidak mempunyai 'bapa' dan tidak pula 'ibu', melainkan setiap kita adalah pembawa risalah ketuhanan yang bersifat universal, iaitu risalah kedamaian, persaudaraan, kemanusiaan, hidayah dan kasih sayang. Tiada seorang pun dari kalangan kita yang dibenarkan memonopoli tanggungjawab secara mutlak terhadap agama Islam dan tiada seorang pun juga yang dibenarkan menjadi juru bicara tunggal atas nama agama.

Sesungguhnya ungkapan ancaman dan gertakan ketika menyampaikan nasihat, teguran dan peringatan, bermakna bahawa seorang pembicara itu belum memahami tujuan-tujuan yang terkandung dalam syariat Rasulullah. Dia berbicara hanya menurut tabiatnya yang kasar, mudah melatah dan melenting disamping menggunakan pendekatan pesimistik.

Marilah kita renungkan bersama firman Allah yang bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat dari Allah, Engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu..." (Ali Imran:159)

Sesungguhnya teguran ini bertujuan baik untuk mengingat dan memberi kesedaran kepada kita semua sesuai dengan saranan Allah di dalam surah Al-Asr.

Semoga saudara Zahid, kami dan seluruh saudara seagama akan sentiasa beringat untuk tidak mengulang salah yang sama di hari muka.

Akhir kata, ingatlah bahawa kunci-kunci syurga itu terletak dalam genggaman Allah. Dialah yang telah menciptakan kita dari tanah dan mengetahui kelemahan kita. Dia tidak memerlukan kita tetapi sebaliknya Dialah yang menyeru kita dengan kasih dan rahmat disamping menjanjikan kita kasih sayangNya.

Sesungguhnya juga Dialah Yang maha Penyayang.

No comments: